X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

MPM perkenal surat aku janji kepada jurulatih

Megat Shahriman (empat dari kiri) bersama barisan atlet dan jurulatih para pada sidang media mengenai Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Menara Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) memperkenalkan surat aku janji kepada barisan jurulatih sebagai langkah proaktif bagi memastikan insiden menimpa jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak berulang.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, inisiatif itu juga bagi memupuk sifat profesionalisme dalam kalangan jurulatih serta atlet supaya mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih teliti dan efektif.

Beliau berharap langkah tersebut yang akan mula diguna pakai pada Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain pada Disember ini dapat menghindari tragedi malang seperti dilalui Muhammad Ziyad dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun di Tokyo, Ogos lepas.

"Surat aku janji merupakan satu garis panduan atau 'checklist' yang menyenaraikan tujuan atlet dan jurulatih serta peranan mereka dalam pertandingan tersebut. Saya juga nak memastikan atlet yang bertanding khususnya di luar negara tidak mengambil kesempatan mengambil cuti peribadi dan mengabaikan tugas mereka.

"Selain itu, atlet dan jurulatih tersebut boleh disabitkan di mahkamah jika didapati melanggar mana-mana peraturan yang tertakluk dalam surat itu," katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran AYPG 2021 dan Sukan Para Asia 2022 di sini pada Selasa.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus gagal mengulangi kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.

Beliau diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak bermula susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Megat D Shahriman berkata, MPM enggan meletakkan tekanan tinggi kepada kontinjen negara yang rata-rata dibarisi atlet pelapis di AYPG 2021 apabila tidak menyasarkan sebarang sasaran pingat di temasya yang akan berlangsung di Manama itu.

Beliau mengakui agak sukar untuk mengulangi pencapaian lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa ketika edisi 2017 di Dubai, namun percaya ia adalah platform kepad atlet baharu menguji dan membuktikan keupayaan mereka.

AYPG 2021 dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Disember, manakala Sukan Para Asia 2022 akan diadakan di Hangzhou, China pada 9 hingga 15 Oktober.

Seramai 14 atlet negara bakal mengambil bahagian di AYPG 2021 dalam enam jenis sukan iaitu olahraga, renang, ping pong, boccia, badminton dan powerlifting.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman berkata, bekas Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid dilantik sebagai Chef De Mission (CDM) ke AYPG 2021. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!