X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Kerajaan terus bantu bina semula daya tahan negara pasca pandemik

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus memberikan fokus kepada membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik yang lebih mampan dalam Bajet 2022, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, menerusi belanjawan tersebut kerajaan bukan sahaja mengekalkan bantuan tunai langsung tetapi turut menambah baik dengan peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM12 bilion bagi tahun 2022.

Menurutnya, ia termasuklah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima, merangkumi bantuan tambahan bagi ibu atau bapa tunggal, golongan B40, M40 dan kumpulan khas, Program Subsidi Upah kepada majikan dan pemain industri pelancongan terjejas, dan Insentif Penggajian JaminKerja yang ditambah baik dengan fokus kepada kumpulan rentan.

"Antara agenda penting dalam bajet ini ialah usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya menerusi program Bual Bicara Bernama TV mengenai Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) pada Selasa.

Tema Bajet 2022 ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendukung tiga paksi utama iaitu Memulih, Membina Ketahanan dan Menyusun Semula (3M).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan yakin dapat melepasi sasaran 500,000 pekerjaan baharu pada tahun ini susulan kejayaan mencipta pekerjaan kepada hampir 440,000 orang setakat 22 Oktober lepas.

"Ini bermakna kita telah pun mencapai lebih 87 peratus daripada sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan tahun ini. Saya yakin kita akan mampu melepasi sasaran ini dalam tempoh dua bulan terakhir 2021," katanya.

Bagi 2022, katanya, kerajaan menyasarkan 600,000 pekerjaan dengan peruntukan melibatkan RM4.8 bilion melalui JaminKerja Keluarga Malaysia.

Sementara itu, dalam membina ketahanan dan strategi memulihkan sektor yang terkesan paling lama iaitu pelancongan, Tengku Zafrul berkata pelaksanaan Program Subsidi Upah bersasar membabitkan peruntukan sebanyak RM600 juta diharapkan dapat memanfaatkan lebih 26,000 majikan dan 330,000 pekerja.

Pembiayaan khusus sebanyak RM600 juta di bawah Penjana Tourism Financing dan Skim Pemulihan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), bantuan khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan dengan peruntukan RM85 juta, dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan dengan peruntukan RM50 juta turut disediakan.

Beliau berkata, kerajaan juga komited meneruskan sokongan dengan menyediakan geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada 738 hotel bajet dan geran pembaikan kepada pemilik inap desa dengan peruntukan RM30 juta, dan geran padanan kepada syarikat yang menganjurkan program berkaitan seni dan budaya dengan peruntukan RM50 juta.

Selain itu, katanya, dana galakan bagi tujuan aktiviti promosi serta galakan pelancongan domestik dengan peruntukan RM60 juta serta pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 juga diberikan.

Sementara itu, Azami Hamdani, pemilik Simfoni Resort di Langkawi yang turut ditemu bual dalam program tersebut berkata, beliau amat menghargai Bantuan Subsidi Upah yang diberikan kerajaan menerusi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang diterajui agensi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Menurutnya, bantuan tersebut telah membolehkan beliau meneruskan sebahagian besar operasi perniagaan dan mengekalkan kesemua pekerjanya.

“Agak mengejutkan apabila saya mendapati ada agensi kerajaan yang sentiasa memantau dan membuat 'follow up’ (susulan) mengenai perkembangan perniagaan saya sehingga ke hari ini ekoran kesan pandemik Covid-19,” kata Azami.

Bagaimanapun, katanya, walaupun industri pelancongan di Langkawi semakin pulih, beliau mendapati kuasa beli pengguna tidak lagi seperti dahulu berikutan impak Covid-19 yang turut menimpa ekonomi rakyat negara ini.

Pengurus agensi Hafza Travel and Tours yang mengendalikan pakej Haji dan Umrah, Zeti Haiza Zakaria pula berkata, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau telah menyertai Program Glow Penjana, menceburi dalam bidang ekonomi gig dengan menawarkan kepakarannya dalam bidang pembangunan perniagaan.

“Inisiatif yang diumumkan kerajaan mengenai ekonomi gig telah mendorong saya mencuba sesuatu yang baharu berdasarkan pengetahuan dan kemahiran sedia ada.

“Ia juga mengajar saya bahawa permintaan masyarakat kini sudah berubah, dan dengan itu, strategi perniagaan juga perlu berubah,” katanya.

Program Glow Penjana ialah inisiatif kerajaan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menawarkan kursus dan latihan dalam talian secara percuma kepada individu yang layak untuk menjana pendapatan melalui kaedah pekerjaan digital. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!