Salah faham punca kanak-kanak tertinggal di tandas awam

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki yang tular selepas dipercayai tertinggal di tandas awam Tol Ipoh Selatan semalam, ditemukan dalam keadaan selamat dan telah diambil semula oleh ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, semakan pihaknya dengan petugas di plaza tol tersebut mendapati, kejadian berlaku akibat salah faham dan keluarga kanak-kanak berumur lapan tahun itu telah membawanya pulang pada hari yang sama semalam.

“Mangsa telah diambil semula oleh keluarganya. Terdapat salah faham yang mana keluarga mangsa menaiki dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan dinaiki ibu bapanya, manakala sebuah lagi kenderaan dinaiki adik beradik mangsa yang berhenti di tandas.

“Mereka ingat mangsa naik salah satu kereta dan apabila sampai di rumah saudara mereka di Menglembu, kira-kira 20 kilometer dari plaza tol itu, didapati mangsa tiada dan ibu bapa mangsa telah pergi semula ke plaza tol untuk mengambil mangsa. Mangsa dalam keadaan baik,” katanya ringkas kepada Bernama.

Pada Isnin tular di WhatsApp dan media sosial gambar kanak-kanak lelaki tersebut yang dipercayai datang dari Rawang, Selangor untuk ke Zoo Taiping sebelum dikatakan tertinggal di tandas awam tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: