Piala Tun Abdul Razak: Platform cungkil bakat baharu

Anil (tengah) bersama wakil pasukan yang bertanding pada Piala Tun Abdul Razak 2021. FOTO: FB MHC
Anil (tengah) bersama wakil pasukan yang bertanding pada Piala Tun Abdul Razak 2021. FOTO: FB MHC
A
A
A

TANPA penampilan pemain senior dan junior kebangsaan, setiap pasukan memiliki peluang sama rata bagi merebut gelaran juara Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2021 yang bermula Rabu.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, ini adalah masa terbaik untuk ketua jurulatih The Speedy Tigers, Arul Selvaraj dan Pengarah Teknikal Pembangunan KHM, Paul Revington mencari bakat baharu.

"Ini adalah masanya untuk untuk Arul dan Paul menilai pemain baharu. Ia satu peluang yang tidak perlu dipersia-siakan. Sebanyak 14 pasukan untuk kategori lelaki dan 12 pasukan bagi kategori wanita akan beraksi kali ini dengan mereka dilihat sangat teruja untuk kembali bermain.

"Kejohanan kali ini juga adalah yang pertama akan dibuka kepada penonton menyaksikan perlawanan. Justeru saya harap penonton yang hadir perlu mematuhi syarat yang ditetapkan," katanya pada sidang media pada Selasa.

Sebanyak 14 pasukan akan bersaing dalam kategori lelaki Piala Tun Abdul Razak 2021 iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Bagi saingan wanita pula pasukan yang bertanding ialah Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, PDRM, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Untuk rekod, Perak dan Pahang masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita Piala Tun Abdul Razak 2020.

Dalam pada itu, pengendali Perak, Abdul Sukur Adam mengakui ketiadaan lima pemain senior dan dua pemain remaja kebangsaan nyata memberi kesan terhadap kekuatan pasukannya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau yakin barisan pemain pelapis daripada skuad SUKMA negeri itu mampu menggalas tanggungjawab besar mempertahan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

“Ya, ketiadaan pemain senior dan junior kebangsaan memang amat dirasakan. Namun saya yakin, pemain pelapis yang ada tentunya bersemangat tinggi untuk buktikan kemampuan masing-masing,” ujarnya.