Thailand beli dua juta pil Molnupiravir rawat Covid-19

Molnupiravir
Molnupiravir
A
A
A

BANGKOK - Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan pelan membeli 50,000 set ubat Molnupiravir atau dua juta pil antivirus Covid-19 itu bagi membendung pandemik di negara berkenaan.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Traisulee Traisoranakul berkata, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Selasa bersetuju memperuntukkan 500 juta bhat untuk membeli Molnupiravir, pil pertama yang dibangunkan bagi merawat gejala Covid-19.

Pada Isnin, penasihat Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Dr Atthasit Srisubat berkata, Kementerian Kesihatan Awam merancang membeli dua pil antivirus Covid-19, Molnupiravir dan Paxlovid untuk kegunaan negara itu berserta beberapa rawatan dan vaksin lain bagi mengekang pandemik.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, pil Molnupiravir akan digunakan sebagai rizab ubat keselamatan.

Beliau berkata, ia akan digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 serta kumpulan keutamaan dan berisiko tinggi termasuk mereka berusia lebih 60 tahun serta yang mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit kesihatan respiratori kronik, penyakit jantung, barah, diabetes serta buah pinggang.

“Kos satu set sekali makan ubat Favipiravir berharga 1,000 bhat atau lebih jika ia diimport, manakala bagi set Molnupiravir adalah kira-kira 10,000 bhat. Doktor akan memutuskan bagaimana menggunakannya.

“Ketika menimbang untuk membeli, kita mesti fikirkan kualiti. Kita tidak kedekut tetapi setiap bhat yang dibelanjakan mesti berbaloi,” katanya.

Pada Isnin, Dr Atthasit berkata, pil Covid-19 molnupiravir yang dihasilkan syarikat Amerika Syarikat, Merck, Sharp and Dohme (Ms) dan Ridgeback Biotherapeutics dijangka akan menyerahkan ubat berkenaan pada lewat Disember atau Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kementerian akan meneruskan rundingan dengan syarikat Pfizer Inc mengenai pil Paxlovid pada Jumaat ini.

Molnupiravir adalah ubat antivirus untuk Covid-19 pertama yang diluluskan badan kawalan ubat United Kingdom. - Bernama