Kerajaan digesa pertimbang semula pemberian tablet

Dewan Rakyat - Foto Bernama
Dewan Rakyat - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan semula keputusan pemberian tablet menerusi inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia.

June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) berkata, ini kerana pihaknya melihat keperluan komputer riba lebih bersesuaian untuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya telah menegur pihak kerajaan agar bantuan ini tidak menjadi seperti agihan peranti murid sekolah pada tahun ini.

“Pelaksanaannya tidak menyeluruh dan tidak mencapai kepada golongan sasar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih dilapor akan melaksanakan inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 berkata, bagi tujuan itu kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta.

Mengulas lanjut, June dalam masa yang sama turut berharap agar kerajaan dapat memberikan diskaun kepada graduan yang mendapat pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Terdapat suara-suara kecewa anak muda ini terutamanya dalam kalangan bumiputera yang berharap kerajaan juga dapat memberikan mereka diskaun bayaran balik pinjaman seperti kerajaan umumkan berita gembira untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Artikel Berkaitan: