Empat suspek ugut, simbah cat merah rumah ahli politik ditahan

Ayob Khan menunjukkan gambar suspek yang ditahan pada sidang media di IPK Johor di sini pada Selasa.
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek yang ditahan pada sidang media di IPK Johor di sini pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan empat suspek termasuk dalang kejadian ugut dan menyimbah cat merah di kediaman Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Chua Jian Boon pada 23 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan kesemua suspek yang juga lelaki tempatan itu dilakukan menerusi serbuan berasingan pada 27 Oktober dan 31 Oktober.

“Bertindak hasil risikan, polis telah menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan antara 18 hingga 34 tahun dalam serbuan di tiga premis berasingan di sekitar Permas Jaya dan Taman Setia Indah di sini yang kita percaya mempunyai kaitan dengan kejadian khianat terhadap seorang ahli politik di negeri ini.

“Hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 34 tahun yang kita percayai menjadi dalang dalam kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan kediaman Jian Boon disimbah cat dipercayai ekoran sidang media dilakukannya berkaitan kes pemerasan terhadap seorang wanita yang menjadi mangsa sindiket along sebelum itu.

Ayob Khan berkata, semakan rekod jenayah mendapati, dua daripada suspek berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dadah.

“Hasil pemeriksaan di kediaman suspek berusia 34 tahun itu, polis turut menemui beberapa peralatan termasuk dua pedang samurai dan empat keping nombor pendaftaran kenderaan.

“Siasatan kes kini telah dilengkapkan kertas siasatan dan suspek dipercayai dalang ini akan dituduh di mahkamah pada Rabu (10 November) untuk kesalahan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penahanan kesemua suspek juga dipercayai membantu polis dalam menyelesaikan sebanyak lapan kes berkaitan ugutan jenayah dan khianat dengan simbah cat.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dalam satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen dengan menawarkan wang tunai antara RM500 hingga RM15,000,” katanya.