Derita Norentan dapat perhatian pelbagai pihak

Nicole Tan Lee Koon (berdiri dua dari kanan) melihat wakil MAINS menyerahkan sumbangan kepada Mizman (berdiri kanan). Turut kelihatan Norentan (terbaring) dan Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias
Nicole Tan Lee Koon (berdiri dua dari kanan) melihat wakil MAINS menyerahkan sumbangan kepada Mizman (berdiri kanan). Turut kelihatan Norentan (terbaring) dan Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias
A
A
A

SEREMBAN - Penderitaan yang dihadapi Norentan Mohamad, 42, yang kini hanya mampu terbaring di rumah akibat penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang mendapat perhatian pelbagai pihak.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan permasalahan dihadapi Norentan yang terpaksa bergantung harap sepenuhnya dengan suami Mizman Ngadinan, 50, yang kini yang dalam proses pemulihan daripada Covid-19.

Apa yang menjadi kerisauan suami Norentan apabila kos pembedahan membuat 'fistula' atau tapak hemodialisis yang dianggarkan antara RM3,000 sehingga RM10,000.

Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang dengan pelbagai agensi bekerjasama membantu Norentan.

"Di bawah Pusat Khidmat DUN saya (Bukit Kepayang), akan membiayai kos membuat tapak rawatan hemodialisis Norentan.

"Pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pula bersetuju membiayai rawatan hemodialisis dalam tempoh enam bulan sebelum disambung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk bulan seterusnya.

"Selain itu Perkeso memberi bantuan lampin pakai buang selagi Norentan perlukan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula akan memberikan bantuan RM500 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi keluarga Norentan di rumahnya di Taman Arowana, Seremban 2, di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mizman berkata, dia tidak menyangka akan menerima perhatian dan bantuan seumpama itu selepas kisahnya dilaporkan Sinar Harian.

"Saya sangat bersyukur dan bantuan ini sangat besar maknanya bagi kami sekeluarga. Terima kasih diucapkan kepada Sinar Harian, Perkeso, JKM, Baitulmal dan YB Nicole," katanya.