Dine-in di stadium, MFL minta penonton bersabar

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

PARA peminat dan penyokong bola sepak tanah air diminta bersabar untuk dine in (makan dan minum) ketika menyaksikan perlawanan Piala Malaysia di stadium ketika ini.

Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sangat memahami situasi yang dialami setiap penonton yang terpaksa menahan lapar dan dahaga sepanjang perlawanan berlangsung.

Justeru, beliau berkata, MFL sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan berharap kerajaan meluluskan kebenaran untuk penonton dine-in di stadium.

“Saya harap semua penyokong bola sepak yang datang ke stadium dapat bersabar kerana kami sudah mengemukakan cadangan itu kepada pihak KBS dan saya rasa ia akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

“Sebab kalau kerajaan nak luluskan satu prosedur, mereka perlu melihat pelbagai aspek. Apatah lagi kita masih belum bebas daripada pandemik Covid-19,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, MFL mengumumkan jumlah kehadiran penyokong ke stadium termasuk bagi menyaksikan saingan Piala Malaysia yang kembali bermula 29 Oktober lalu adalah mengikut status negeri yang berada di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, tiada aktiviti makan dan minum sepanjang penonton berada di stadium selain hanya mereka yang sudah lengkap divaksinasi dibenarkan masuk ke stadium dan wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kebenaran untuk penonton makan dan minum ketika menyaksikan acara-acara sukan di stadium akan diumumkan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

“Kita dengar keluhan orang ramai, kerajaan juga mendengar dan saya sendiri telah berhubung dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Kesihatan) dan menyampaikan keluhan orang ramai ini kepada beliau.

“Beliau mendengar perkara ini dan kita akan umumkan tidak berapa lama lagi, tentunya ada berita baik buat penonton di stadium yang menyaksikan acara-acara sukan,” ujarnya.