Kerajaan Selangor nafi luluskan pembinaan lebuh raya SKE

Izham Hashim. Foto Astro Awani
Izham Hashim. Foto Astro Awani
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan telah memberi kelulusan bagi pembinaan lebuh raya baru yang diberi nama sebagai Sungai Klang Expressway (SKE), sebagaimana yang ditularkan dalam sebuah video di media sosial baru-baru ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, pihak kerajaan negeri telah meneliti video tersebut, dan mendapati bahawa projek itu tiada dalam kelulusan projek lebuh raya baru yang akan dilaksanakan di Selangor.

“Sebaliknya kerajaan negeri mendapati video pembinaan jajaran SKE itu hampir serupa cadangan pembinaan lebuh raya Sungai Klang Link (SKL), yang telah mendapat kelulusan dasar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 27 Jan lalu, namun projek itu masih menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan segala pelaksanaan projek penswastaan lebuh raya di negeri-negeri, adalah tertakluk kepada kelulusan kerajan Persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya akan memudah cara pelaksanaan projek lebuh raya tersebut, supaya mematuhi peraturan sedia ada.

“Kita akan merujuk perkara ini kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk meneliti aspek perundangan yang boleh diambil ke atas syarikat SKE tersebut, yang dipercayai baru ditubuhkan pada hujung 2020, malah pihak kerajaan negeri tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada syarikat itu setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, penyebaran video berkenaan mampu mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan kepada rakyat dengan penggunaan beberapa logo pihak berkuasa tempatan, menunjukkan seolah-olah projek tersebut telah mendapat kelulusan. - Bernama

Artikel Berkaitan: