X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Hanya BN umum ‘poster boy’ setakat ini

‘Poster boy’ BN ialah Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang merupakan calon tunggal bagi jawatan itu, sekiranya gabungan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah itu berjaya membentuk kerajaan di Melaka.
A
A

MELAKA - Hanya Barisan Nasional (BN) yang menamakan ‘poster boy’ atau calon Ketua Menteri Melaka, sejak pengumuman calon oleh parti-parti bertanding bermula Jumaat lepas sehingga hari penamaan calon yang berlangsung semalam.

‘Poster boy’ BN ialah Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang merupakan calon tunggal bagi jawatan itu, sekiranya gabungan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu, berjaya membentuk kerajaan.

Parti utama lain iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pula setakat ini masih belum menamakan sebarang calon, walaupun cakap-cakap politik ada menyebut beberapa nama pemimpin kanan, yang sebelum ini menjadi ketua menteri atau anggota pentadbiran di peringkat kerajaan pusat.

Antaranya Naib Ketua Srikandi Bersatu yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang akhbar pada pada Selasa berkata, PH mempunyai ramai calon yang berkelayakan untuk diangkat menjadi Ketua Menteri, termasuk dua bekas ketua menteri sebelum ini iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Adly Zahari.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook pula, mahukan Adly yang juga Pengerusi PH Melaka dilantik semula sebagai Ketua Menteri sekiranya PH menang, manakala Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menyatakan dengan jelas perkara ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali yang mengakui penting untuk parti-parti politik menamakan siapakah calon Ketua Menteri berkata, selain untuk membina keyakinan rakyat, calon berkenaan mestilah individu yang berupaya menyatukan rakan-rakan komponen, agar tidak berlaku lagi insiden lompat parti.

“Dalam konteks parti, calon Ketua Menteri mestilah individu yang diterima semua pihak, supaya rakyat tidak dijamu dengan insiden lompat parti yang akhirnya merugikan rakyat. Dalam kes Melaka, telah dua kali kerajaan berubah dan kerajaan yang akan wujud selepas ini mestilah kerajaan yang stabil,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Che Hamdan juga tidak menolak kelewatan mengumumkan calon Ketua Menteri bagi PN dan PH merupakan strategi yang telah dirangka parti.

“Misalnya bagi PH, mungkin mereka akan gunakannya untuk menarik sokongan pengundi Adly dan Idris. Pun begitu sekiranya masih tidak ada, mungkin di dalam PH berlaku ketidaksepakatan dalam menentukan siapakah calon Ketua Menteri mereka,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian pada Isnin, menerusi rancangan Liputan Khas Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka terbitan Bernama TV yang menyatakan, jika tidak diisytiharkan seorang calon Ketua Menteri, sukar buat parti politik untuk meyakinkan pengundi.

“Tahun 2008 di Pulau Pinang, BN gagal menamakan calon Ketua Menteri. Ketika itu tarik tali berlaku sehingga DAP menyatakan satu undi BN, satu undi untuk Ketua Menteri UMNO dan itu telah menumbangkan kerajaan BN pada ketika itu.

“Dalam konteks sekarang ini, walaupun ada calon-calon yang bertanding menggunakan kewibawaan mereka, ketiga-tiga gabungan besar ini perlu menamakan calon Ketua Menteri mereka, supaya sekurang-kurangnya hala tuju Melaka itu jelas,” katanya.

SPR menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!