‘Kerjasama antara parti Melayu bukan jalan kuasai kerajaan’

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara parti Melayu bukan satu-satunya jalan yang boleh digunakan untuk menguasai kerajaan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, dengan mengambil kira situasi semasa politik yang disifatkan sebagai sangat ‘disruptive’, kemenangan banyak bergantung kepada tawaran dasar, kepimpinan dinamik dan rencana ekonomi lebih lestari termasuk keperluan rencam generasi muda.

Menurut beliau, keputusan Pas untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) telah memberikan UMNO ruang dan peluang untuk kembali kepada Barisan Nasional (BN) yang sederhana, berbilang kaum dan progresif.

“Jika hanya mencongak jumlah undi UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)) itu sebagai tanda aras kemenangan, maka sangatlah simplistik. Politik Malaysia bukan sebegitu simplistik.

“Kerana rumitnya politik itulah, maka BN adalah taruhan terbaik UMNO untuk Malaysia. Yang lain hanya sampingan,” katanya ketika mengulas mengenai keputusan Pas untuk bertanding bersama PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam hantaran Facebooknya pada Selasa.

Pada 1 November lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan bahawa parti itu akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini.

Calon Pas juga akan bertanding melawan UMNO di tujuh kerusi dalam PRN tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, keputusan Pas itu membawa maksud bahawa Muafakat Nasional (MN) yang diwujudkan kedua parti itu hanya sekadar nama dan tidak pada semangatnya.

Artikel Berkaitan:

“Laungan MN demi perpaduan ummah hanyalah halwa telinga. Hakikatnya, dalam politik pelbagai kepentingan lain adalah keutamaan.

“UMNO tegas untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu bukan kerana ia membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu.

“Tetapi kerana Bersatu itu dibidani kelahirannya untuk mengganti UMNO. Ia secara terang dan jelas, seteru UMNO. Pas wajar mengerti kedudukan ini,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my