Pelajar universiti percaya sertai politik boleh tingkatkan gred

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti pelajar universiti seluruh negara percaya bahawa penyertaan dalam politik di kampus akan meningkat gred pembelajaran mereka.

Menurut Pusat Kajian Pentadbiran dan Politik (Cent-GPS) dengan kerjasama Persatuan Pengajian Tinggi Malaysia (HEYA), tinjauan mendapati pelajar universiti di seluruh negara teruja dan terdorong untuk berpartisipasi dalam politik terutamanya dengan pelaksanaan Undi 18.

Menurut kenyataan itu, pelajar melihat politik di kampus sebagai cara untuk membuka minda mereka dan memperkuat demokrasi di Malaysia dalam jangka panjang.

“Sebilangan besar percaya bahawa gred akan ditingkatkan kerana pelajar menjadi lebih terbuka apabila berpolitik.

"Ini akan menjadi satu tapisan kuat bahawa kerisauan orang ramai dengan penurunan usia pengundian akan memberi peluang kepada remaja berusia 18 tahun yang tidak berpengetahuan dalam mempengaruhi pemilihan nasional tidak relevan,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Kajian tersebut melibatkan 839 pelajar dari lebih 39 universiti di seluruh negara dan responden dipilih melalui persampelan rawak mengikut jantina, tahun pengajian, universiti dan negeri serta semua pelajar yang ditinjau adalah pelajar sepenuh masa.

Tujuan tinjauan itu adalah untuk mengenal pasti sama ada pelajar universiti Malaysia digalakkan mengenai Undi 18, selesa untuk berpartisipasi dalam politik di kampus, merasakan sama ada gred akan dipengaruhi dan berpendapat demokrasi di Malaysia akan bertambah baik sekiranya pelajar universiti aktif dalam politik.

Menurut kenyataan itu, tinjauan juga mendapati bahawa pelajar universiti bersikap proaktif, melihat politik di kampus mereka sebagai cara untuk mempelajari perspektif yang berbeza, mempelbagaikan pendapat mereka sendiri dan menyumbang kepada Malaysia yang lebih terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Ini jelas lebih menjanjikan daripada ahli Parlimen kita sekarang yang menggunakan politik sebagai cara untuk mendapatkan kuasa dan status peribadi,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Cent-GPS dan HEYA juga melaporkan sebanyak 74 peratus berpendapat pelajar boleh mengambil bahagian dalam politik dan 26 peratus sebaliknya.

“Sebanyak 44 peratus berpendapat kadang-kadang pendapat mereka dihormati oleh pentadbiran universiti, 32 peratus mengatakan ya dan 24 peratus tidak.

“Sebanyak 56 peratus pula mengatakan mungkin, 31 peratus ya dan 13 responden tidak setuju mengenai adakah kesejahteraan kampus akan ditingkatkan sekiranya pelajar dibenarkan untuk berpartisipasi dalam politik.

“Ketika ditanya mengenai apakah penyertaan pelajar dalam politik akan menurunkan gred, majoriti 57 peratus tidak setuju dan berpendapat bahawa ia sebenarnya akan meluaskan perspektif pelajar.

"Sebanyak 23 peratus tidak setuju dan berpendapat bahawa gred akan tetap sama, tiga peratus sangat tidak setuju dengan pernyataan tersebut dan 17 peratus responden pelajar berpendapat bahawa penyertaan dalam politik akan menurunkan gred,” kata kenyataan itu.