Cadang wujud jawatan hakim Jusa C kendali kes jenayah seksual

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang supaya memberikan perhatian segera dan serius terhadap jurang implementasi di peringkat institusi.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata, perhatian itu seperti keperluan perjawatan khusus bagi hakim Jusa C untuk mereka membaiki sistem pelaporan dan penyediaan pelatihan.

Menurut beliau, hal demikian kerana sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari sehingga Jun 2020 dan setakat 31 Ogos 2021, sejumlah 2,162 kes aktif masih dalam proses perbicaraan.

“Saya menyambut baik hasrat kerajaan untuk memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) termasuk pengwujudan 100 perjawatan baharu.

“Bagaimanapun, saya ingin menimbulkan apa gunanya kejayaan menyiasat kalau ia tidak dapat diukur dengan kejayaan sabitan. Bererti penyiasatan itu penting tetapi juga sabitan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 menyatakan bahawa kerajaan bersetuju memperuntukkan RM13 juta khas bagi memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi memastikan sebarang bentuk keganasan dan jenayah terhadap golongan kanak-kanak dan wanita dapat dihentikan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, disebabkan itu adalah lebih baik bahagian kehakiman juga diberikan pengkhususan bajet dengan kewujudan hakim Jusa C ini.

Artikel Berkaitan:

“Ia bertujuan untuk memantau dan mengendalikan kes-kes dalam jenayah seksual di seluruh negara kita,” ujarnya.