UMNO tidak akan kecewakan orang muda

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO tidak akan mengecewakan orang muda untuk mengembalikan kemakmuran negeri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO kekal relevan diyakini rakyat Malaysia dari generasi ke generasi sehingga ramai anak muda di seluruh negara bersetuju dengan falsafah perjuangan mereka.

“Namun, dalam perihal golongan muda UMNO bersyukur kerana ramai memilih untuk menyertainya.

“Jumlah keahlian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Menjadikan keanggotaannya seluruh Malaysia kini mencatatkan hampir setengah juta.

“Bukti bahawa anak muda Malaysia bersedia bersama UMNO dan mahu bersama kami. Ini juga suatu cerminan UMNO sememangnya sebuah parti keramat agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, orang muda akan bersama Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka kerana mereka pernah tertipu dengan janji serta fitnah yang tidak akan kecundang lagi.

“Hanya perlu bayar balik pinjaman PTPTN selepas gaji bulanan mereka melebihi RM4,000. Pendidikan percuma IPTA, 1 juta pekerjaan baharu yang berkualiti, 1 juta rumah mampu milik/mampu sewa.

“Hapuskan tol, kereta harga rendah dan bermacam-macam lagi akad palsu bulan madu di awan biru. RadioHead pun sudah hilang cerita. Membuat janji tanpa memikirkan implikasinya.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang mereka dapat 22+17 bulan adalah ketidakstabilan perpaduan, ekonomi, peluang pekerjaan dan segala-galanya,” ujarnya.

Jelas Zahid, perintah kawalan pergerakan (PKP) secara penuh suam-suam kuku yang menyebabkan rakyat terpaksa hidup sengsara dalam tempoh sangat lama.

“Sehingga sebahagian golongan muda terpaksa angkat 'bendera putih' menagih bantuan makanan dan wang ringgit. Berpuluh ribu nyawa rakyat Malaysia tidak bersalah terkorban akibat wabak angkara percaturan politik ‘overdose’.

“Insya-ALLAH anak muda Melaka masih ingati itu semua dan merindui kemakmuran kerajaan BN. Kerajaan yang pernah mengharmonikan kesejahteraan hidup mereka sejak kecil hingga dewasa,” katanya.

Tambah Zahid, ada beberapa pihak berpendapat golongan muda masa kini memiliki aspirasi politik sofistikated yang menyebabkan pemikiran dan cita rasa mereka tentang politik sangat tinggi, halus dan bersifat kompleks.

“Generasi ini dikatakan tidak suka menjadi ahli mana-mana parti, tetapi cakna tentang perihal politik. Merekalah generasi teknologi maklumat yang berupaya menganalisa hal politik dengan mudah.

“Namun senario itulah suatu kelebihan buat BN untuk PRN Melaka, Sarawak mahupun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“Golongan ini akan berfikir secara rasional dan berfakta yang akan melihat kebenaran pada BN,” ujarnya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my