Kaedah pengagihan zakat perlu ditambah baik: Idris

Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Kaedah pengagihan zakat perlu ditambah baik dengan mengutamakan pencarian asnaf berbanding hanya menunggu permohonan daripada mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

“Dalam erti kata lain, saya mengharapkan kita yang mencari bukannya mereka (asnaf) datang meminta," katanya yang mahu institusi dan agensi zakat meneruskan usaha agresif turun ke lapangan mencari para asnaf.

Idris berkata, institusi zakat dan wakaf perlu diperkasa dari sudut keberkesanan sistem penyampaian dan ijtihad hukum bagi berhadapan dengan cabaran baharu pasca-Covid-19 untuk memastikan peranannya membantu golongan memerlukan kekal relevan.

“Terdapat pelbagai pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan dan selagi mana masih berada dalam kerangka syarak, kita perlu keluar daripada zon selesa dan mengorak langkah ke hadapan dengan yakin.

“Saya mengharapkan senarai data yang ada pada ahli kariah dapat kita manfaatkan untuk kita turun bagi membantu golongan yang memerlukan supaya kita memudahkan dan bukan menyusahkan. Kita mencari dan bukan mereka yang datang meminta,” katanya ketika merasmikan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2021 secara dalam talian pada Selasa.

Idris berkata, program seperti Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan wajar dijadikan wadah perbincangan bagi meningkatkan keberdayaan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan agensi mengurus zakat di Malaysia agar bergerak seiring dengan tuntutan semasa dalam menangani permasalahan sosioekonomi ummah.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah membuka mata pelbagai pihak mengenai peranan yang dimainkan oleh MAIN dan agensi mengurus zakat dalam agenda membantu masyarakat yang terjejas akibat Covid-19.

Idris dalam pada itu berkata, institusi zakat dan wakaf perlu memanfaatkan teknologi khususnya media sosial untuk memaklumkan segala usaha yang telah diambil oleh MAIN dan agensi mengurus zakat dalam membantu para asnaf dan pihak yang terjejas dengan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tema sambutan Bulan Zakat Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Zakat Prihatin: Muzakki Cakna, Asnaf Merasa’ merupakan terjemahan kepada konsep Keluarga Malaysia yang telah dipraktikkan dalam hal ehwal pentadbiran zakat di negara ini. - Bernama