Mansuh pengecualian cukai pendapatan sumber asing tidak jejas FDI

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan pemansuhan pengecualian cukai daripada sumber asing sepertimana diumumkan dalam Bajet 2022, tidak harus dilihat sebagai langkah negatif yang boleh mengekang pelaburan langsung asing (FDI), kata Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi pasaran terbuka, tarikan ekosistem pelaburan itu tidak hanya ditentukan oleh insentif semata-mata sebaliknya turut bergantung kepada sistem percukaian negara yang komprehensif dan mengikut ketetapan piawaian cukai antarabangsa.

Malah, katanya, cadangan tersebut akan memastikan mereka yang sewajarnya dikenakan cukai selain agihan yang saksama kepada pihak atau bidang kuasa berkaitan.

Pada masa sama, ini juga dapat mengatasi perbuatan mengelak daripada membayar cukai terbabit.

“Kita memberikan mesej bahawa kita tidak akan menerima perbuatan atau amalan (mengelak cukai) sedemikian,” katanya pada acara Invest Malaysia 2021 Siri 2 secara maya pada Selasa.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, negara-negara lain seperti Hong Kong dan Singapura juga telah bertindak sedemikian iaitu sama ada memansuhkan atau meminda undang-undang masing-masing agar seiring dengan piawaian antarabangsa.

Dalam Bajet 2022, kerajaan telah mencadangkan untuk mengenakan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diperoleh daripada sumber asing dan diterima di Malaysia mulai 1 Januari 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan: