PRN Melaka: Perang bendera kian meriah

Bendera BN dan PH kelihatan meriah di sekitar DUN Klebang, Pantai Kundor dan Tanjung Kling ketika tinjauan pada Selasa.
Bendera BN dan PH kelihatan meriah di sekitar DUN Klebang, Pantai Kundor dan Tanjung Kling ketika tinjauan pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Perang bendera antara parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kian meriah, namun ia seakan-akan baru bermula di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tinjauan Sinar Harian mendapati sehari selepas penamaan calon, bendera Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah banyak dipasang di kawasan yang menjadi tumpuan termasuk Klebang, Pantai Kundor dan Tanjung Kling.

Poster calon turut dipasang di kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan menerima sejumlah 112 kertas pencalonan bagi kerusi DUN Melaka yang dipertandingkan pada PRN kali ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, lima parti dan 22 calon Bebas disahkan bertanding pada PRN Melaka dengan pertandingan tiga penjuru paling banyak direkodkan di 11 DUN.

Beliau berkata, daripada 112 kertas penamaan calon yang layak bertanding itu, BN, PN dan PH masing-masing menampilkan seramai 28 calon, selain lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan satu mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Pada masa sama SPR turut menetapkan, prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka termasuk melarang semua 112 calon bertanding mengadakan sebarang aktiviti berhimpun, kempen bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Bagaimanapun, SOP itu membenarkan calon mengedarkan risalah ke peti surat, selain boleh menggunakan kenderaan bergerak seperti lori dan van untuk berkempen.

Artikel Berkaitan:

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus lagi wanita.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my