26 kanak-kanak maut dalam kebakaran sekolah di Niger

Sekurang-kurangnya 26 kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran di sebuah sekolah di selatan Niger pada Isnin. - Foto AP
Sekurang-kurangnya 26 kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran di sebuah sekolah di selatan Niger pada Isnin. - Foto AP
A
A
A

NAIROBI - Sekurang-kurangnya 26 kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran di sebuah sekolah di selatan Niger pada Isnin.

Menurut Agensi Anadolu, Datuk Bandar Maradi Chaibou Aboubacar yang mengesahkan kejadian itu kepada media tempatan berkata, berpuluh-puluh kanak-kanak yang melarikan diri daripada kebakaran itu melecur teruk dan sedang menerima rawatan.

Kebanyakan kanak-kanak yang meninggal dunia berumur lima hingga enam tahun.

Angin kencang dilapor menyemarakkan lagi kebakaran bilik darjah yang dibina menggunakan jerami dan kayu, dan pihak berkuasa keselamatan masih menyiasat bagaimana ia bermula.

Tiga bilik darjah sekolah itu musnah dalam kejadian itu.

Kebanyakan bilik darjah luar bandar di Niger diperbuat daripada kayu dan jerami, menyebabkannya mudah terbakar.

Radio Nagarta di Niger melaporkan angka kematian mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Pada April lalu, 20 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 13 tahun maut dalam kebakaran di sebuah sekolah rendah di pinggir ibu kota Niger Niamey.

Artikel Berkaitan:

Niger, yang mempunyai lebih 25 juta penduduk, adalah antara negara termiskin di dunia dan mempunyai kadar celik huruf terendah di Afrika, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sekolah tidak mencukupi dan selalunya dibina daripada kayu, jerami dan kepingan besi. - Bernama