Setuju mansuh hukuman mati mandatori

MOHD PARID
MOHD PARID
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) bersetuju terhadap cadangan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tetapi menggesa hukuman mati tetap dikekalkan.

Presiden Ikram, Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, pemansuhan aspek mandatori dalam hukuman itu akan memberi pilihan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman lain bagi kesalahan berkaitan jika didapati ia lebih adil.

Menurutnya, hukuman mati tetap perlu dikekalkan kerana masih relevan.

"Ikram setuju untuk kerajaan memansuhkan semua hukuman mati mandatori selari dengan manifestonya, melibatkan 32 peruntukan daripada lapan akta iaitu Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Penculikan 1961, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010, Akta Senjata 1960 dan Akta Angkatan Tentera 1972.

"Bagaimanapun kami menegaskan hukuman mati tetap relevan dalam mencapai tujuannya iaitu balasan, penghindaran, pencegahan dan perlindungan masyarakat, setimpal dengan beratnya kesalahan jenayah," katanya dalam satu kenyataan.

Rang Undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman itu dijangka akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang yang akan bermula pada 11 Mac ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan mansuh hukuman mati diputuskan sebelum Parlimen bersidang

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, VK Liew berkata, kerajaan masih menimbang perincian berkenaan pemansuhan hukuman mati.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara pilihan yang sedang diambil kira adalah memansuhkan hukuman mati secara keseluruhan atau memansuhkannya bagi kesalahan berkaitan dadah dan pada masa sama, hakim memiliki budi bicara untuk menjatuhkan hukuman itu untuk sesetengah jenayah, seperti bunuh.

Liew bagaimanapun berkata, kerajaan akan tetap memastikan hukuman mati tidak lagi mandatori bagi jenayah di bawah lapan akta seperti dalam manifesto PH.