Banyak pengalaman antara faktor dijadikan calon muda PH

Prasanth dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa
Prasanth dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Prasanth Kumar Brakasam mengakui pengalaman dalam memimpin serta berkhidmat untuk rakyat negeri Melaka merupakan antara faktor yang menjadikannya sebagai calon muda untuk parti tersebut.

Menurutnya, sebelum menyertai parti politik pada usia 19 tahun, beliau mempunyai pengalaman menjadi pemimpin di peringkat sekolah serta menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) pada peringkat kolej bagi menyuarakan isu-isu keadilan yang berlaku kepada rakyat.

"Selepas itu, PH menang di peringkat Melaka dan Putrajaya, saya diamanahkan dan dilantik sebagai Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

"Saya telah berkhidmat kepada beliau selama 22 bulan dan pengalaman itu membantu saya membuat lebih banyak perubahan serta memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat bersama dengan rakyat," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Prasanth berkata, ketika mengadakan hari bertemu rakyat bersama Adly, lebih daripada 4,000 aduan diterima sepanjang tempoh 22 bulan.

"Sebanyak 85 peratus daripada aduan yang diterima telah berjaya dilaksanakan.

"Ia adalah antara faktor yang memberi saya keyakinan untuk lebih rapat, berkhidmat dan membantu rakyat negeri Melaka," katanya.

Dalam pada itu, Prasanth memohon kepada semua pengundi yang berada di luar dari Melaka supaya merancang perjalanan mereka dan dapat balik mengundi pada 20 November ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakyat perlu memilih kerajaan yang baik dan boleh berkhidmat kepada masyarakat Melaka untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

"Untuk itu, saya menyeru dan merayu kepada semua untuk balik ke kampung halaman masing-masing.

"Bagi yang telah mendaftar mengundi, semak semula melalui aplikasi atau laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kita dapat meneliti semula di mana kawasan mengundi kita," katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my