MBSA perluas inisiatif bayaran tanpa tunai menjelang 2022

Zamani (tiga dari kiri) merakamkan gambar selepas menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif berkenaan yang berlangsung di Auditorium MBSA pada Selasa.
Zamani (tiga dari kiri) merakamkan gambar selepas menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif berkenaan yang berlangsung di Auditorium MBSA pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal memperluaskan inisiatif bayaran tanpa tunai menjelang awal tahun hadapan susulan sambutan baik yang diterima daripada pengguna.

Inisiatif pembayaran tanpa tunai ini bakal menyediakan medium bayaran secara dalam talian antaranya seperti perbankan internet, terminal kad, JomPAY dan SnapNPay.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, dengan pelaksanaan itu, MBSA telah mengorak langkah ke hadapan dalam memberikan kemudahan pembayaran yang lebih fleksibel kepada pengguna dan penduduk di bandar raya itu.

"Jumlah mereka yang membayar tanpa tunai ini meningkat setiap fasa yang mana pada tahun ini lebih 60 peratus memilih kaedah berkenaan.

“Jadi melihat peningkatan itu, kami mencadangkan ia diperluaskan lagi penggunaannya,” katanya selepas majlis pelancaran inisiatif berkenaan yang berlangsung di Auditorium MBSA pada Selasa.

Dalam pada itu, Zamani berkata, pembayaran tanpa tunai itu bukan sahaja membabitkan cukai taksiran sahaja malah semua perkhidmatan lain seperti pembayaran kompaun, parkir dan sewaan premis.

Ujar beliau, pihaknya berharap inisiatif itu dapat memudahkan serta menjimatkan masa orang ramai di samping mempromosikan amalan gaya hidup baru komuniti tanpa tunai menjelang tahun 2022.

“Pembayaran menerusi kaunter masih diteruskan kerana kita tahu ada golongan yang masih memerlukan kaedah itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Zamani berkata, sejumlah lebih RM270 juta cukai taksiran telah dikutip oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada tahun ini.

Tambah beliau, jumlah itu adalah memberangsangkan walaupun terdapat penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Pembayaran cukai bagi dua penggal pada tahun ini lebih 95 peratus dan kita berterima kasih kepada penduduk Shah Alam walaupun terkesan tetapi masih melunaskan cukai," katanya.