Malaysia yakin capai sasaran defisit 6.5 peratus tahun ini

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin dapat mencapai sasaran defisit 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, Malaysia berada di landasan untuk mencapai unjuran berkenaan tetapi banyak bergantung kepada prestasi hasil negara, sejauh mana negara boleh mengutamakan semula perbelanjaannya, dan pencapaian akhir hasil KDNK.

“Kita (telah) merasionalkan perbelanjaan pada 2021 untuk menampung peningkatan Dana Covid-19 kepada RM39 bilion, iaitu bagi membiayai bantuan tambahan dan pakej rangsangan.

“Jadi secara keseluruhannya, defisit untuk tahun ini dijangka RM98.8 bilion, meningkat daripada jumlah anggaran asal RM84.8 bilion,” katanya pada acara Invest Malaysia 2021 Siri 2 yang diadakan secara maya pada Selasa.

Tengku Zafrul juga berkata, semua mata kini tertumpu pada prestasi negara bagi separuh kedua tahun ini.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama 2021 berbanding dengan penguncupan 8.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, dipacu oleh keberkesanan program rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kerajaan.

Menteri Kewangan turut menambah keputusan KDNK suku ketiga 2021 akan diumumkan minggu depan dan kerajaan mengunjurkan angka yang lebih rendah susulan pelbagai langkah pembendungan dalam tempoh berkenaan.

Namun, beliau yakin pemulihan kukuh akan dicatatkan dalam suku keempat 2021.

Artikel Berkaitan:

Mengenai percukaian, Tengku Zafrul berkata kerajaan menjangkakan kutipan hasil yang lebih kukuh bagi suku empat selaras dengan pembukaan semula ekonomi dan kejayaan pelancaran vaksinasi.

“Kita sudah menyaksikan peningkatan dalam kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Ini selaras dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi, khususnya dalam sektor perkhidmatan,” jelas beliau.

Beliau menambah Kementerian Kewangan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang bekerjasama bagi pelaksanaan cukai karbon yang juga selaras dengan inisiatif kerajaan untuk meluaskan asas hasilnya dan mengurangkan pergantungan kepada cukai langsung.

Tengku Zaful turut memberi jaminan bahawa Cukai Makmur yang dicadangkan kerajaan untuk dilaksanakan tahun depan, akan dikenakan secara sekali sahaja memandangkan negara sedang menghadapi keadaan luar biasa dan cukai baharu itu akan dilaksanakan berdasarkan semangat itu.

Cukai ke atas syarikat yang memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya RM100 juta, dijangka memberi kesan kepada tidak lebih daripada 250 syarikat, katanya sambil menambah banyak syarikat besar telah menyatakan sokongan mereka untuk levi sementara itu dan ia tidak akan memudaratkan pembayaran dividen mereka. -Bernama