1,474 cerun dikenal pasti berisiko

Sebanyak 1,474 bilangan cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi telah dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).Gambar hiasan
Sebanyak 1,474 bilangan cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi telah dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menjangkakan lima buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan akan terjejas akibat Monsun Timur Laut yang bermula pada Oktober sehingga Mac tahun hadapan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada lima buah negeri itu, sebanyak 1,474 bilangan cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi telah dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).

“Cerun-cerun yang berisiko ini terletak di Jalan Persekutuan kritikal di lima buah negeri tersebut seperti Jalan Persekutuan FT1, FT3, FT4, FT8, FT86, FT185,” katanya semasa sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang bertanyakan mengenai persediaan kementerian dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam masa terdekat terutama di negeri-negeri pantai timur.

Mengulas lanjut, Fadillah menambah, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR telah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi-lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri yang akan memberi amaran awal apabila ‘rainfall index’ pada tolok hujan yang telah dipasang melebihi tahap amaran.

“Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh Malaysia di mana 36 stesen terletak di Semenanjung Malaysia. Tolok hujan ini dipasang di Jalan Persekutuan yang berpotensi berlaku cerun runtuh seperti di FT59, FT185, FT4, FT55, FT102 dan beberapa laluan kritikal lagi,” ujarnya,

Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa KKR sentiasa memastikan kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi bencana Monsun Timur Laut setiap tahun.

“Semua Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan daerah telah diarahkan melaksanakan langkah berjaga-jaga dan membuat persiapan yang rapi dari aspek tenaga kerja, jentera dan logistik.

Artikel Berkaitan:

“Semua jentera dan keperluan logistik telah diselenggara bagi menghadapi musim tengkujuh yang akan datang,” jelasnya.