Polis buru 'samseng jalanan' kasari penunggang motosikal

Tangkap layar rakaman video yang memaparkan tindakan seorang pemandu kereta bertindak kasar terhadap penunggang motosikal.
Tangkap layar rakaman video yang memaparkan tindakan seorang pemandu kereta bertindak kasar terhadap penunggang motosikal.
A
A
A

KAJANG - Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang dirakam bertindak kasar seperti samseng jalanan terhadap penunggang motosikal di Bandar Teknologi Kajang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima satu video berdurasi 58 saat yang memaparkan kejadian tersebut.

"Kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.

"Kita percaya rakaman tersebut berlaku di kawasan lampu isyarat Bandar Teknologi Kajang berdasarkan dakwaan daripada perakam video berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, semakan mendapati tidak ada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan oleh mana-mana pihak atau individu.

"Bagaimanapun, satu laporan polis maklumat pertama (FIR) telah dibuat oleh pihak polis untuk satu siasatan dijalankan bagi mengesan si pelaku dan mangsa dalam kes berkenaan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas mangsa dan ugutan yang mendatangkan ketakutan atau kegusaran kepada mangsa," katanya.

Mohd Zaid menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat agar individu berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif mengenai kejadian tersebut dan tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Ali Hamzah di talian 019-866 0324," katanya.