Mesej antirasuah untuk orang Melaka

Kru Rasuah Busters menyantuni Keluarga Mon Tamar di Kampung Bukit Kecil Paya Dalam Melaka.
Kru Rasuah Busters menyantuni Keluarga Mon Tamar di Kampung Bukit Kecil Paya Dalam Melaka.
A
A
A

SEJAK semalam, kru-kru pasukan Rasuah Busters berlegar-legar di seluruh negeri Melaka untuk menyebarkan mesej antirasuah dan mengajak pengundi menolak politik kotor.

Mereka membawa misi penting untuk memberi kefahaman dan menyampaikan mesej kesedaran rasuah kepada orang ramai.

Kru yang penuh iltizam itu bertemu dengan segenap lapisan masyarakat, daripada pemimpin dan calon parti sehinggalah para pengundi untuk menekankan tentang kepentingan memilih calon pemimpin yang bersih.

Ini adalah masa terbaik bagi rakyat terutama pengundi-pengundi di Melaka untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih pemimpin yang ada integriti.

Natijahnya jika tersalah pilih pemimpin, rakyat akan merana untuk tempoh lima tahun akan datang dengan kerosakan dan bencana yang berlaku berpunca daripada amalan rasuah serta salah guna kuasa pemimpin tidak jujur dan amanah.

Bayangkan projek-projek yang sepatut dibuat untuk kepentingan rakyat seperti hospital, sekolah, jalan raya dan balai polis tidak dapat disiapkan pada masa ditetapkan atau berkualiti rendah.

Begitu juga dengan projek-projek yang memberi kesan kepada alam sekitar yang memberi kesan besar kepada golongan nelayan.

Rasuah ini seperti teori domino yang boleh memberikan kesan rantaian kepada semua pihak dan yang akan menjadi mangsa serta rugi tentulah rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tanpa rasuah, usaha untuk memajukan negara atau negeri akan dapat dipacu dengan lebih cepat dan taraf hidup rakyat akan berubah menjadi lebih baik.

Sejak kempen Rasuah Busters dilaksanakan, pelbagai pihak sudah tampil ke depan dan menyatakan sokongan padu untuk menolak rasuah daripada terus menjadi barah.

Kesedaran mengenai isu-isu rasuah terutama dalam kalangan generasi muda sudah mula menampakkan perubahan ketara.

Berdasarkan tinjauan rambang, rata-rata pengundi muda akan menilai seseorang calon itu mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi.

Justeru, kita berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi titik tolak penting kepada pola pemikiran rakyat di Malaysia.