X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

PJ City FC buru slot terakhir

PJ City FC memburu kemenangan ketika menentang Sabah FC di Stadium Likas pada Selasa.
A
A

UMPAMA aksi ‘hidup mati’, PJ City FC bakal membuat perhitungan akhir dengan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Selasa dalam misi memburu tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Selepas mengharungi lima perlawanan Kumpulan D, PJ City FC dan Sabah FC kini terikat dengan lima mata, sekali gus pertembungan kedua-dua pasukan bakal menyajikan aksi yang cukup sengit.

Menyedari slot terakhir ke suku akhir menjadi taruhan, PJ City FC tidak rela berputih mata biarpun mereka bakal menghadapi tugas getir berdepan The Rhinos di gelanggang keramat lawan.

Pengendali PJ City FC, P Maniam berkata, dia sudah merangka taktikal ampuh bagi memerangkap Sabah FC yang pastinya memiliki kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri.

“Kita pasti Sabah FC yang kini dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee akan beraksi dengan perancangan taktikal tersendiri untuk memenangi perlawanan itu nanti.

“Jadi saya sudah berpesan kepada setiap pemain untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini selain tidak terlalu tertekan bagi mengharungi aksi terakhir peringkat kumpulan kali ini.

“Apabila mereka dapat memberikan aksi terbaik, sudah pasti kita bakal beroleh kejayaan yang diharapkan. Saya harap kami dapat pulang dengan kejayaan mara ke suku akhir Piala Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Setakat ini, tujuh pasukan - Kuala Lumpur City, Sarawak United FC, Terengganu FC (TFC), Selangor FC, Melaka United FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Kini hanya satu lagi slot menjadi rebutan antara PJ City FC dan Sabah FC bagi melengkapkan kuota lapan pasukan yang bakal berentap dalam aksi suku akhir bermula 14 November ini.

Dalam pada itu, Maniam berkata, The Phoenix tidak meletakkan sasaran meraih keputusan seri biarpun satu mata sudah memadai buat mereka menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.

“Seperti yang saya katakan, saya menaruh kepercayaan kepada pasukan ini yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan. Saya percaya mereka mampu merealisasikan sasaran ke suku akhir.

“Saya percaya pemain-pemain yang akan diturunkan di Stadium Likas nanti akan beraksi dengan sehabis baik seperti mana ketika kami berdepan dengan JDT sebelum ini,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!