Pelancong minta rakyat Melaka buat pilihan tepat

Kru Rasuah Busters mengedarkan pelitup muka khas yang menjadi sebahagian kempen memerangi rasuah kepada Mohd Azamli Mat Zain.
Kru Rasuah Busters mengedarkan pelitup muka khas yang menjadi sebahagian kempen memerangi rasuah kepada Mohd Azamli Mat Zain.
A
A
A

MELAKA - Pengundi di Melaka diingatkan berhati-hati memilih pemimpin untuk menerajui kerajaan negeri yang baharu demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat dapat diutamakan.

Rata-rata pengunjung dari luar Melaka yang berkelah di Pantai Kelebang, dekat sini memberi pesanan mesra agar masyarakat setempat dapat menggunakan kesempatan terbaik pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini untuk memilih calon yang tepat.

Bagi anak jati Jengka 2, Pahang, Amirul Hisham Rosli bekata, pengundi di Melaka perlu memilih calon tepat iaitu mereka yang mempunyai daya kepimpinan tinggi bagi memajukan negeri dan berusaha membantu rakyat daripada kesusahan.

Katanya, pemimpin yang bersih dan ikhlas berkhidmat demi masyarakat pastinya tidak akan mementingkan diri, sekali gus akan bertindak menjauhkan diri daripada perbuatan mungkar.

Amirul Hisham
Amirul Hisham

"Saya bukan orang Melaka tetapi saya ingin menasihatkan pengundi di PRN Melaka agar memilih pemimpin yang tepat iaitu mereka yang mempunyai integriti dan bebas daripada rasuah.

"Kita semua mahukan kumpulan pemimpin yang berusaha membela nasib rakyat dan bukannya membawa negara ke arah kehancuran," katanya yang ditemui di Pantai Kelebang, dekat sini pada Isnin.

Sementara itu, Nor Faizah Abdullah, 23, dari Pahang turut senada dengan Amirul apabila meminta pengundi di PRN Melaka memfokuskan barisan kepimpinan terbaik bagi menerajui Melaka selepas pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sesebuah negeri memerlukan kumpulan pentadbiran dan situasi politik yang stabil bagi menarik pelabur bertandang ke negeri tersebut.

Nor Faizah
Nor Faizah

Katanya, Melaka yang terkenal dengan sektor pelancongan dan sejarah negara pastinya memerlukan sebuah kerajaan negeri yang kukuh bagi menjana ekonomi terbaik buat masyarakat.

Seorang lagi pengunjung yang bertandang ke Melaka, Syairah Diyana Samat, 31, berkata, Melaka sebuah negeri bertuah kerana berjaya menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke negeri bersejarah tersebut.

Dia yang merupakan pemilik perniagaan Ar Raudah Optometry di Bandar Tun Hussein Onn, Selangor berkata, Melaka mempunyai banyak destinasi menarik untuk dikunjungi, bukan sahaja tempat bersejarah tetapi juga lokasi percutian terbaik.

Syairah Diyana
Syairah Diyana

"Pilih pemimpin yang bebas daripada rasuah kerana perbuatan keji itu akan mencemarkan nama Melaka yang terkenal dengan sejarah kegemilangan pusat perdagangan dunia suatu ketika dahulu.

"Jangan tersalah pilih kerana nasib rakyat Melaka berada di tangan mereka. Rasuah telah terbukti merosakkan negara dan menjadikan negara miskin akibat perbuatan tamak haloba tersebut," katanya.