Covid-19: Malaysia rekod penurunan kes kematian

Kes kematian berkaitan Covid-19 untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 turun 27.2 peratus kepada 380 kes daripada 522 kes pada ME ke-43. - Foto Bernama
Kes kematian berkaitan Covid-19 untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 turun 27.2 peratus kepada 380 kes daripada 522 kes pada ME ke-43. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan penurunan 27.2 peratus dalam kes kematian berkaitan Covid-19 untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 dari 31 Oktober hingga 6 November iaitu kepada 380 kes daripada 522 kes pada ME ke-43.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, kadar kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan peningkatan dua peratus iaitu kepada 516 kes berbanding 505 kes pada minggu epidemiologi sebelumnya.

"Kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan. Kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan 13.1 peratus kepada 35,303 kes daripada 40,613 kes (ME ke-43).

“Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sembilan minggu lepas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, hingga 6 November, terdapat kumulatif 5,719 kluster dilaporkan dan 335 kluster aktif, justeru ia menunjukkan penurunan 23.5 peratus berbanding ME ke-43.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan negara pada Isnin merekodkan 7,348 kes sembuh, melebihi kes baharu Covid-19 iaitu 4,543 kes, menjadikan jumlah kumulatif masing-masing 2,419,743 dan 2,510,852 kes.

Beliau berkata, 534 kes ditempatkan di ICU dengan 263 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 4,543 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 97.5 peratus atau 4,431 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala 2.5 peratus (112 kes) melibatkan kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kluster baharu, beliau berkata, enam kluster dikenal pasti melibatkan tiga kluster tempat kerja, dua kluster pendidikan tinggi dan satu kluster pusat tahanan.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam pembukaan semula sesi persekolahan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang sesi berlangsung agar kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah.

“Keselamatan dan kesihatan warga sekolah serta persekitaran sekolah yang selamat perlu diberi lebih perhatian dalam mencegah penularan wabak Covid-19 di sekolah.

“Jadikanlah tempat pengajian bagi anak-anak kita selamat agar mereka kekal terhindar daripada bahaya Covid-19. Pastikan mereka yang berkelayakan untuk menerima vaksin Covid-19 segera divaksin lengkap,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!