X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Siakap '4 angka': KPDNHEP arah pemilik restoran jelaskan kos operasi

Tular mengenai kumpulan pelancong yang mendakwa dikenakan bayaran empat angka untuk ikan siakap yang dipesan mereka.
A
A

ALOR SETAR - Pemilik restoran terapung yang terbabit dalam isu hidangan ikan siakap berharga lebih RM1,000 di Taman Geoforest Karst Kilim, Langkawi, diberi masa lima hari untuk membuat penjelasan mengenai kos operasinya.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, penjelasan itu perlu diberikan sebelum 11 November.

"KPDNHEP telah mengeluarkan notis kepada pemilik restoran berkenaan ketika tinjauan pegawai KPDNHEP pada 5 November. Penjelasan perlu diberikan oleh pemilik restoran sebelum 11 November ini.

"Segala maklumat yang diberikan akan dianalisis mengikut kaedah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Antara keterangan yang diperlukan termasuk penyata kewangan syarikat selama tiga tahun dan harga-harga hidangan lain," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Shahran berkata, kes itu diklasifikasi sebagai dalam siasatan.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, notis itu bagaimanapun tidak bermakna pemilik restoran terbabit sudah melakukan kesalahan.

Beberapa hari lepas tular mengenai kumpulan pelancong yang mendakwa dikenakan bayaran RM1,196.80 untuk ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesan mereka.

Namun pemilik restoran menegaskan ikan itu biasanya tidak dijual, tetapi dipelihara sebagai sebahagian pertunjukan untuk tontonan pengunjung pengunjung restoran, malah harga bagi ikan siakap terbabit juga sudah dinyatakan di dalam menu. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!