PKS di Sarawak masih boleh mohon bantuan sekali bayar BKSS

PKS di Sarawak masih boleh memohon bantuan sekali bayar BKSS sehingga 13 November ini. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
PKS di Sarawak masih boleh memohon bantuan sekali bayar BKSS sehingga 13 November ini. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak membuka semula portal dalam taliannya di www.sarawak.gov.my dari 30 Oktober hingga 13 November bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) aktif yang masih belum menerima bantuan kewangan sekali bayar di bawah inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 kerana tidak dapat menyediakan dokumen lengkap semasa membuat permohonan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, ini kerana apabila permohonan bagi bantuan itu ditutup pada 22 Oktober lepas, pihaknya mendapati ramai pemohon bantuan itu telah mengemukakan dokumen tidak lengkap dan tidak sah.

“Kerajaan Sarawak ikhlas dalam membantu komuniti perniagaan, sehubungan itu kami menggesa pihak syarikat berkaitan supaya segera menyerahkan maklumat dan dokumen mereka melalui portal dalam talian Sarawak supaya bantuan kewangan dapat dibayar selewat-lewatnya bulan Disember,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, untuk kemudahan pemohon, e-mel telah dihantar dalam tiga bahasa iaitu Mandarin, Inggeris dan Bahasa Malaysia kepada semua bakal penerima pada 30 Oktober lepas dengan mengetengahkan maklumat mengenai dokumen-dokumen yang perlu diserahkan semasa membuat permohonan, dan ia turut disertakan dengan video pendek mengenai manual dan garis panduan mengisi portal dalam talian itu untuk rujukan.

“Maklumat ini diminta bukan dengan tujuan membebankan syarikat, tetapi ia sebahagian daripada mekanisme tadbir urus yang baik bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam menguruskan dana awam,” katanya.

Muhammad Abdullah berkata, satu jawatankuasa penilaian khas melibatkan unitnya, Jabatan Peguam Negara Negeri, Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak dan dua kementerian negeri telah dibentuk bagi melaksanakan langkah-langkah pengagihan BKSS 7.0 dan BKSS 7.0 Plus, sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

“Bantuan kewangan ini disumbangkan bagi membantu komuniti perniagaan (Sarawak) yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu telah meluluskan sumbangan kepada 46,000 PKS dan perusahaan mikro yang layak berdasarkan senarai yang disediakan oleh Perkeso, dan kumpulan pertama pembayaran telah dibuat kepada penerima yang layak selepas mereka menyerahkan dokumen yang lengkap dan sah.

Artikel Berkaitan:

BKSS 7.0 dan BKSS 7.0 Plus melibatkan bantuan khas sekali bayar sebanyak RM10,000 kepada perniagaan aktif di Sarawak yang berdaftar dengan Perkeso. - Bernama