Malaysia di landasan betul untuk pulih sepenuhnya

Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bahawa dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial, dan bantuan berterusan kerajaan untuk membantu industri dan perniagaan kembali beroperasi, Malaysia berada di landasan yang betul untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka tumbuh antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus tahun depan, disokong oleh peningkatan dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil dan peningkatan beransur-ansur dalam sentimen pengguna dan perniagaan, berikutan pembukaan dan pemulihan pesat selepas vaksinasi.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, pemulihan bukan sahaja bermaksud membawa negara kembali kepada kedudukan ekonomi dan sosial sebelum pandemik, tetapi juga mewujudkan pertumbuhan kukuh yang akan meletakkan Malaysia kembali di landasan mencapai status negara maju.

“Pada masa yang sama, kita juga mesti terus menambah baik sistem kesihatan dan infrastruktur digital untuk membantu negara menguruskan situasi pandemik yang sama dengan lebih baik pada masa hadapan tanpa kesan serius terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat,” katanya semasa berucap pada Program Kepimpinan Perkhidmatan Awam Singapura ke-13.

Muhyiddin menyebut, kemiskinan akan menjadi satu lagi masalah utama yang perlu ditangani segera kerajaan Malaysia berikutan ramai daripada kalangan M40 dan B40 mengalami penurunan ketara dalam pendapatan isi rumah.

Dalam hal itu, beliau berharap kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020-2030, bertujuan menyediakan taraf hidup yang baik untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, lokasi wilayah dan status sosial.

Mengenai perkhidmatan awam, Muhyiddin berkata, adalah penting bagi penggubal dasar untuk bertindak berpandukan nasihat sewajarnya daripada penjawat awam yang menjadi penjaga dasar-dasar itu.

“Apabila kita menggunakan kuasa dan tanggungjawab kita sebagai menteri dan Perdana Menteri, kita mesti pastikan ia selaras dengan dasar yang kita sendiri buat.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kita mesti merujuk kepada penjawat awam sebagai penjaga dasar-dasar itu untuk mendapatkan nasihat mereka sama ada kita, dalam melaksana kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita, berbuat demikian mengikut dasar, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa pada masa ini,” jelas beliau.

Muhyiddin berkata, ia satu prinsip utama yang perlu dipatuhi oleh semua ahli politik yang telah diberi tanggungajawab dan kuasa mentadbir kerajaan, dan menambah kata bahawa setiap orang terikat dengan undang-undang, peraturan dan perundangan, tanpa mengira betapa berkuasanya mereka. - Bernama