Pesara polis meninggal dunia dua jam selepas kereta terbabas

Perodua Myvi dipandu mangsa terbabas di Jalan Gong Badak, Kuala Nerus pada Isnin.
Perodua Myvi dipandu mangsa terbabas di Jalan Gong Badak, Kuala Nerus pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang pesara polis meninggal dunia kira-kira dua jam selepas kereta dipandunya terbabas berhampiran hospital pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Jalan Gong Badak di sini kira-kira jam 10.20 pagi Isnin.

Mangsa, Mohd Anuai Yusoh, 66, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada jam 12.46 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, ketika kejadian, kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa dari arah lampu isyarat UniSZA menghala ke Kampung Pok Tuyu.

"Tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar tiang papan tanda sebelah kiri jalan menyebabkan kenderaannya berpusing sebelum terlanggar kotak lampu Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di kiri bahu jalan.

"Insiden menyebabkan kenderaan dipandu mangsa mengalami beberapa kerosakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ismail berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Gong Datuk, Mengabang Telipot di sini dikejarkan ke hospital oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, setakat ini punca kematian mangsa masih dalam siasatan.

"Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 ke atas mangsa diperoleh," katanya.

Artikel Berkaitan: