MP Lanang cadang keluar Akaun 1 KWSP tampung kos kesihatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen mencadangkan supaya ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berdepan masalah membayar kos rawatan kesihatan dibenar membuat pengeluaran daripada Akaun Satu.

Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) berkata, langkah itu boleh dilaksana sekiranya simpanan ahli KWSP dalam Akaun Dua tidak mencukupi.

"Selain menampung keperluan harian, KWSP juga membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun Dua bagi membiayai kos perubatan penyakit.

"...tetapi selepas ketiga-tiga program (i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra) dilaksanakan, kebanyakan ahli KWSP terutama golongan B40 sudah tiada simpanan dalam Akaun Dua," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada individu yang terkesan akibat Covid-19.

Alice juga berkata, kerajaan perlu menyegerakan keputusan untuk membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 secara sekali beri kepada rakyat yang memerlukan kerana masih ramai berharap kerajaan menaikkan had pengeluaran KWSP menerusi program bantuan itu.

"Bagaimanapun, semua ini mengkompromikan simpanan persaraan khususnya bantuan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra masing-masing melibatkan pengeluaran duit simpanan akaun KWSP.

"Ini memang menjejaskan kehidupan mereka semasa hari tua, hari bila mereka sudah tak larat bekerja atau bersara," katanya yang turut meminta kerajaan menyatakan langkah jangka panjang bagi memulihkan simpanan persaraan KWSP. - Bernama

Artikel Berkaitan: