Cheng Hoe pertahan pendekatan taktikal Harimau Malaya

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

MENJELANG kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe akhirnya membuka mulut berhubung pandangan serta kritikan terhadap mutu permainan pasukan bimbingannya.

Selepas hanya mencatatkan satu kemenangan daripada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe bukan sahaja menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, malah turut menarik perhatian pemerhati serta pengkritik sukan tempatan.

Antara elemen yang hebat dipersoalkan adalah berkaitan pemilihan pemain dan taktikal pasukan, dengan beberapa pihak berpendapat sudah tiba masa pengendali berusia 53 tahun itu, memberikan nafas baharu dalam skuad selain mengubah formasi yang digunakan.

Begitupun, Cheng Hoe yang terkenal dengan ketenangannya, mempertahankan tindakan beliau sambil menjelaskan cadangan supaya skuad kebangsaan menggunakan formasi 3-4-3, perlu dilihat dari sudut ketersediaan pemain di posisi tertentu.

“Saya rasa cadangan itu bagus, tetapi kita perlu lihat sama ada kita ada pemain yang boleh bermain di posisi tersebut, selain kena lihat dan kaji semula adakah kita mempunyai kualiti pada permainan dengan posisi baharu itu.

“Mungkin pandangan itu disebabkan dia (pengkritik) tengok EPL (Liga Perdana Inggeris), Liga Itali atau Liga Sepanyol, jadi dia membuat perbandingan tetapi pemain kita adakah sampai ke tahap itu?,” katanya.

Kemenangan tunggal diraih skuad kebangsaan setakat ini adalah ke atas Thailand pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun lepas, namun statistik direkodkan itu dikaitkan dengan faktor tempoh 18 bulan yang dilalui tanpa aksi antarabangsa susulan pandemik Covid-19.

Biarpun menjuarai Piala Malaysia, Liga Premier dan Piala Sumbangsih sepanjang menggalas tugas sebagai jurulatih Kedah dari 2014-2017, Cheng Hoe masih belum berjaya menjulang sebarang kejuaraan dalam tempoh hampir empat tahun, sejak dilantik membimbing pasukan negara.

Artikel Berkaitan:

Namun, Cheng Hoe dilihat membawa perubahan positif serta memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara sejak mengisi kekosongan ditinggalkan pengendali dari Portugal Nelo Vingada, sehingga Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018.

Pengendali kelahiran Kedah itu turut mengakui secara keseluruhan skuad bimbingannya tidak jauh beza jika dibandingkan dengan jaguh Asia Tenggara Vietnam.

“Walaupun kita tak pernah menang dalam beberapa perlawanan bertemu Vietnam, tetapi secara keseluruhan kita pun tak jauh beza dengan mereka. Saya rasa dalam rantau Asia Tenggara, Vietnam juga rasa-rasanya risau dengan pasukan kita,” kata pengendali yang lebih gemar mempertaruhkan formasi 4-3-3 itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejuaraan Piala AFF 2020 adalah sebahagian daripada persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, yang dijadual berlangsung pada Jun 2022 dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir di China.

“Pemain kena teruskan momentum sebab kalau tidak menyertai mana-mana pertandingan, memang sukar untuk pemain dan pasukan tingkatkan prestasi,” katanya.

Pada kejuaraan Piala AFF 2020, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B yang juga ‘kumpulan maut’ akan memulakan kempen bertemu Kemboja pada 6 Disember, diikuti Laos (9 Dis) dan dua aksi seterusnya yang dijangka sengit iaitu menentang juara edisi 2018 Vietnam dan Indonesia masing-masing pada 12 dan 19 Disember untuk meraih slot ke peringkat separuh akhir.

Pada Piala AFF 2018, Cheng Hoe membimbing skuad Harimau Malaya muncul naib juara selepas tewas dengan keputusan agregat 2-3 kepada Vietnam. - Bernama