Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan perlu gandakan usaha

Wallace Tan
Wallace Tan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meningkatkan ketajaman penyudah serta kualiti pukulan sudut penalti menjadi antara fokus utama Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2021 di Bhubaneswar, India dari 24 November sehingga 5 Disember ini.

Mengakui dengan tempoh singkat yang dimiliki ketika ini, Ketua Jurulatih, Wallace Tan berkata, pasukan hoki remaja negara tidak mempunyai pilihan selain perlu menggandakan usaha dalam sesi latihan bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran di kejohanan itu.

“Kalau nak kirakan perlu lebih banyak masa lagi...kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita tak dapat berlatih di padang, jadi kalau dapat lebih masa, baik tetapi dengan masa yang kita ada sekarang, kita harus guna apa yang ada sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil di sini pada Isnin.

Pada masa sama, Wallace berharap anak buahnya yang bakal beraksi pada kejohanan antarabangsa pertama mereka itu, dapat memperbaiki kelemahan dalam aspek menyerang serta bertahan.

Pasukan bimbingan Wallace diletakkan sasaran untuk melepasi saingan peringkat kumpulan pada kejohanan itu.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A bersama Belgium, Chile dan Afrika Selatan dijadual berlepas ke India, Selasa depan dan dijangka akan melalui beberapa siri aksi pemanas badan sebelum kejohanan berlangsung.

Wallace berkata, antara negara yang telah menyatakan minat untuk mengadakan perlawanan persahabatan adalah Jerman, Belanda dan Sepanyol.

Sementara itu, ketua pasukan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar percaya akan kemampuan rakan sepasukannya untuk menjayakan misi di India.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain meningkatkan tahap prestasi, pasukan juga banyak mengkaji corak permainan lawan menerusi rakaman video sebagai persediaan rapi menghadapi perlawanan.

“Berdasarkan pengalaman saya, Jerman, Chile, Afrika Selatan dan Belgium adalah pasukan kuat dan terbaik jadi kita melihat cara mereka bermain untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka.

Buat masa sekarang, persekitaran pasukan adalah positif dan persiapan kita pun nampak bagus,” katanya. - Bernama