Maritim Malaysia rampas 31 set bubu naga

Bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia dalam operasi dijalankan. Foto Ihsan Maritim
Bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia dalam operasi dijalankan. Foto Ihsan Maritim
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan merampas 31 set bubu naga dalam serbuan di sekitar perairan Lukut di sini pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya melakukan serbuan itu selepas menerima aduan awam mengenai penyalahgunaan bubu naga oleh segelintir nelayan di perairan Negeri Sembilan.

Menurutnya, operasi kemudian mengesan bubu naga ketika rondaan rutin sekitar jam 4 petang Ahad.

“Aset Maritim Malaysia telah menemui botol-botol plastik mencurigakan terapung di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.

“Pemeriksaan ke atas botol-botol plastik tersebut mendapati ia digunakan sebagai penanda lokasi pemasangan bubu naga,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan merampas 31 set bubu naga dalam serbuan di sekitar perairan Lukut
Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan merampas 31 set bubu naga dalam serbuan di sekitar perairan Lukut

Haris Fadzillah berkata, pasukan operasi merampas 31 set bubu naga dipasang di empat lokasi berasingan sekitar kedudukan 0.4 batu nautika barat daya muara Sungai Lukut di sini.

"Kesemua bubu naga itu telah dirampas kerana penggunaannya tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia sejak November 2018.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan pertumbuhan dan kemusnahan hasil laut kerana benih dan ikan kecil turut terperangkap dalam bubu naga yang diharamkan," katanya.

Sementara itu katanya, Maritim akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan serta pematuhan keselamatan di laut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kesalahan jenayah dan kecemasan di laut diminta terus menghubungi Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.