Nelayan cederakan polis direman tujuh hari

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian di tepi jalan Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang, Alor Setar pada Ahad.
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian di tepi jalan Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang mencederakan anggota polis di tepi jalan Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang di sini pada Ahad direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kedah, Darul Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki yang bekerja sebagai nelayan berusia 38 tahun itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula Isnin hingga 14 November depan.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu dengan niat cubaan membunuh orang dan memiliki senjata berbahaya atau berjadual di bawah Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

"Siasatan juga dijalankan atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234). Jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman mandatori gantung sampai mati.

"Suspek yang memiliki 10 rekod lampau kesalahan dadah kini ditahan reman sehingga 14 November depan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam kejadian pada Ahad itu, seorang anggota polis cedera di kaki kiri akibat digilis suspek dan cedera di tangan kanan akibat ditikam lelaki terbabit.

"Pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai tiga peket plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang 54.50 gram," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis cedera bergelut dengan pengedar dadah