Kes penipuan dalam talian meningkat, rekod kerugian RM449.5 juta

Mohd Kamarudin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Mohd Kamarudin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes jenayah komersial di negara ini mengalami peningkatan yang ketara sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan statistik, laporan polis berkaitan kes jenayah komersial telah meningkat lebih 60 peratus sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, kajian mendapati kes-kes melibatkan jenayah penipuan dalam talian menunjukkan trend peningkatan ketara.

"Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021, sejumlah 17,537 kes penipuan dalam talian telah dicatatkan melibatkan kerugian sebanyak RM449.5 juta.

"Jumlah kes ini melebihi jumlah 17,109 kes jenayah penipuan dalam talian yang dicatatkan sepanjang tahun 2020 dengan kerugian sebanyak RM510 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 di Hotel Berjaya Times Square di sini pada Isnin.

Mohd Kamarudin berkata, walaupun JSJK telah melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pembanterasan, namun kes jenayah penipuan dalam talian dilihat terus meningkat.

"Penglibatan masyarakat dalam pencegahan jenayah komersial amat penting. Satu inisiatif yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan bagi memastikan kes-kes jenayah penipuan dalam talian ini dapat diturunkan," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, kempen itu merupakan salah satu usaha bagi memastikan masyarakat didedahkan segala ilmu pengetahuan berkaitan jenayah komersial.

Artikel Berkaitan:

"Dengan tema 'Kesedaran Jenayah Komersil Kesejahteraan Komuniti', kempen ini akan diadakan secara besar-besaran sepanjang November ini.

"Pelbagai aktiviti dan program telah dirancang bagi memastikan pelaksanaan kempen selama satu bulan ini mencapai matlamat ditetapkan," kata beliau.