Penyelia maut: Dua syarikat tapak lombong diberi enam notis

Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan lanjut di tapak lombong susulan kematian seorang penyelia, semalam. (gambar kecil: Zamzurin)
Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan lanjut di tapak lombong susulan kematian seorang penyelia, semalam. (gambar kecil: Zamzurin)
A
A
A

IPOH - Dua syarikat yang terlibat dalam kerja-kerja mengangkut bijih di sebuah tapak lombong di Pengkalan Hulu diberikan enam notis atas pelbagai ketidakpatuhan berikutan kematian seorang penyelianya akibat dilanggar lori, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Rosli Osman, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terperosok di bawah lori yang digunakan untuk mengangkut bijih di dalam kawasan lombong terbabit.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, ketika kejadian mangsa didapati sedang menjalankan kerja penyeliaan menggunakan motosikal sebelum dilanggar sebuah lori dari arah belakang, dipandu seorang lelaki warga Indonesia.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa terperosok bawah lori, sebaik insiden itu berlaku pemandu terbabit melarikan diri dan tidak dapat dihubungi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, JKKP yang menjalankan siasatan di lokasi kemudiannya mengeluarkan enam notis membabitkan satu notis larangan dan lima notis pembaikan kepada majikan dan kontraktor terlibat.

"Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Siasatan lanjut berhubung kes itu masih dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian," katanya.

Zamzurin berkata, semua majikan perlu mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"JKKP memandang serius terhadap insiden-insiden seperti ini terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam," katanya.