Mohamad Ali kali pertama tanding dalam pilihan raya

Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto Bernama
Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Walaupun sudah lebih 36 tahun terjun ke kancah politik, namun Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UUMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, buat pertama kalinya menjadi calon dan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Mohamad Ali, 57, yang belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya, merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bagi PRN Melaka kali ke-15 ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara telah bergiat aktif dalam politik sejak 1985.

Kerusi DUN Sungai Udang (N11) bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.

PN mempertaruhkan Dr Mohd Aleef Yusof manakala Hasmorni Tamby bertanding atas tiket PH dan Mejar Jeneral (B) Mohd Zahar Hasim mewakili Bebas.

Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta juga merupakan calon termuda di DUN Sungai Udang manakala Mohd Zahar, 63, adalah bekas pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat selama 40 tahun di ATM, dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Perisikan Strategik dan Perhubungan Antarabangsa.

Hasmorni, 46, pula merupakan Exco Wanita PKR Pusat dan Setiausaha Wanita Cabang PKR Masjid Tanah serta pernah bertanding di DUN Kuala Linggi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi kalah kepada penyandang Datuk Ismail Othman dengan majoriti 1,732 undi.

Sebelum itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Pusat Penamaan Calon DUN Sungai Udang, Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz membuat pengumuman pencalonan itu di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Keris Laksamana Kompleks Penjara Sungai Udang sebaik waktu penerimaan borang pencalonan ditutup pada jam 10 pagi Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my