Selangor kutip hasil premium tanah RM900 juta

Amirudin pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Isnin.
Amirudin pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berjaya memperoleh hasil kutipan premium tanah sebanyak RM900 juta yang merupakan penyumbang terbesar pendapatan di negeri tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM2 bilion setakat Jumaat.

Menurutnya, jumlah itu didorong oleh inisiatif pendigitalisasian dan pembukaan semula ekonomi, yang melibatkan pihak-pihak yang memulakan rancangan pembangunan di negeri tersebut dan perlu membayar premium tanah, cukai dan sebagainya.

"Sebahagian daripada inisiatif pendigitalisasian itu membantu kita untuk mencatat kutipan cukai yang tinggi, iaitu hampir empat hingga lima pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah tanah mencatat kutipan lebih 89 peratus.

"Ini membuktikan bahawa pembayaran secara dalam talian yang dilaksanakan di Lembah Klang menjadi pilihan serta kita harus bersedia untuk memasuki era digitalisasi dan negeri pintar," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Amirudin turut yakin mampu mencapai hasil kutipan sekurang-kurangnya RM2.1 bilion kerana sasaran awal sebanyak RM2.2 bilion pada tahun ini telah mencapai kutipan sebanyak 95 peratus.

Ujarnya, hasil pendapatan tersebut dapat digunakan untuk proses pemulihan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat di negeri tersebut.

"Tahun lepas kita catat sekitar RM2.23 bilion, maknanya ada lebihan daripada sasaran itu.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih panjang, tapi kita masih mampu capai sebanyak RM2.1 bilion dalam sasaran dan unjuran kita.

"Sekarang sudah cecah RM2 bilion (kutipan), dan saya yakin kita akan dapat hasil atau pendapatan yang baik supaya kita boleh belanja lebih banyak pada tahun hadapan,'' katanya.