Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 0.2 peratus

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) yang mengukur purata perubahan harga perkhidmatan yang dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 110.5 berbanding 110.3 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor utama yang menunjukkan peningkatan ialah penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 1.1 peratus; kesenian, hiburan dan rekreasi (1.1 peratus); pendidikan (0.3 peratus); aktiviti hartanah dan kesihatan masing-masing (0.2 peratus).

“Bagaimanapun, indeks untuk subsektor pengangkutan menunjukkan penurunan sebanyak satu peratus, manakala indeks profesional dan maklumat serta komunikasi kekal tidak berubah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IHPrP meningkat kepada 0.2 peratus dengan disumbangkan oleh dua subsektor iaitu pengangkutan (0.3 peratus) dan penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.1 peratus).

“Indeks bagi kesenian, hiburan dan rekreasi menurun sebanyak 0.1 peratus manakala subsektor yang kekal tidak berubah melibatkan maklumat dan komunikasi, aktiviti hartanah, profesional, pendidikan dan kesihatan,” kata Mohd Uzir.

Tambah beliau, Aktiviti Semakan Kualiti (QC) dan Penyiasatan Liputan Banci (PES) bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) sedang dilaksanakan sepanjang November dan Disember 2021.

“Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam aktiviti yang dijalankan Banci Malaysia 2020.

“Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: