Sulaiman dalam pertembungan tiga penjuru di Lendu

Sulaiman (kanan) dan Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas sidang media pengunguman calon di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto fail Bernama
Sulaiman (kanan) dan Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas sidang media pengunguman calon di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto fail Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berdepan calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sulaiman yang mewakili Barisan Nasional (BN) ditentang Mejar (B) Abdullah Mahadi (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).

Pengumuman calon yang layak bertanding itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lendu, Mohd Haidir Haron pada jam 10.39 pagi di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah dekat sini pada Isnin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14), Sulaiman memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 627 undi.

Sulaiman ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon berkata, beliau berpuas hati dengan urusan itu pada Isnin dan kesemua berjalan lancar.

“DUN Lendu bermakna tiga penjuru (pertandingan) seperti mana kita jangkakan dan sempat juga saya berbual dengan dua lagi calon tadi.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon kita semua berkempen mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan SPR mahupun KKM (Kementerian Kesihatan) dan berkempen secara baik,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang beliau ditawarkan kepada pengundi di DUN Lendu sekiranya diberi mandat semula sebagai wakil rakyat adalah perancangan baharu ataupun yang sedang dilaksanakan, antaranya pembangunan e-sukan serta sukan lasak untuk belia, selain menambah baik perhubungan jaringan jalan raya.

Sementara itu, Abdullah berkata, beliau akan menggunakan platform media sosial bagi menyatakan hasratnya serta tawaran untuk pengundi memandangkan terdapat kekangan SOP dalam berkempen.

“Saya sendiri secara jujurnya menghormati Ketua Menteri kita ini (Sulaiman), saya pun kenal dia.

"Persaingan ini pada saya adalah satu persaingan yang sihat dan saya pulangkan (kepercayaan) kepada penduduk Lendu untuk memilih siapakah yang akan menerajui kepimpinan selepas ini,” katanya. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my