Saifuddin terima lawatan Setiausaha Luar UK hari ini

Kenyataan Kementerian Luar Negeri berhubung lawatan Elizabeth pada Isnin.
Kenyataan Kementerian Luar Negeri berhubung lawatan Elizabeth pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dijadualkan menerima lawatan rasmi Setiausaha Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan United Kingdom (UK) ke Malaysia, PYT Elizabeth Truss hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, kedua-dua menteri itu akan membuat penilaian menyeluruh ke atas kemajuan dalam hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan UK serta peluang kerjasama antara kedua-dua negara pasca pandemik Covid-19.

“Perbincangan tersebut dijangka turut menyentuh isu-isu berkenaan keselamatan serantau, situasi di Myanmar, isu Komanwel dan perubahan iklim.

“Dalam masa sama, Elizabeth dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk bertukar pendapat tentang isu-isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan UK merupakan rakan kerjasama yang erat dalam pelbagai aspek termasuk hubungan dalam kalangan ‘people-to-people’.

“Pada tahun 2020, nilai dagangan antara kedua negara ini direkodkan sebanyak RM16.69 bilion, 1.4 peratus lebih tinggi berbanding yang dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM16.46 bilion,” jelasnya.

Pada Ahad, Elizabeth tiba di Malaysia untuk memulakan lawatan seminggu ke Asia Tenggara bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan keselamatan dengan negara yang diramal berkembang pesat dan menjadi semakin penting.

Untuk makluman, ini merupakan lawatan pertama Elizabeth ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak dilantik menjadi Setiausaha Luar pada September 2021 dan selain Malaysia, beliau juga dijadual melawat Thailand serta Indonesia.

Artikel Berkaitan: