X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

KKM tetap dua skop penilaian peralihan kepada fasa endemik

Dr Noor Azmi Ghazali
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan dua skop penilaian iaitu situasi penularan Covid-19 dalam negara dan kapasiti bagi respons kepada Covid-19 bagi memastikan proses peralihan kepada fasa endemik dilaksanakan dengan selamat, berhati-hati dan secara lestari.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Malaysia ketika ini berada di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sedang dalam proses peralihan daripada pandemik kepada keendemikan (endimicity).

Menurutnya, sehingga 8 November 2021, sebanyak 11 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah berada di dalam fasa empat manakala hanya Sarawak dan Kelantan yang masih di bawah Fasa Tiga PPN.

“Bagi skop situasi Covid-19, kita mempunyai empat domain iaitu kes teruk, kematian, penularan jangkitan Covid-19 dan liputan vaksinasi manakala bagi skop kapasiti untuk respons, kita mempunyai tiga domain iaitu berdasarkan kapasiti fasiliti hospital, kapasiti makmal dan petugas kesihatan.

“Bagi setiap domain, terdapat parameter atau indikator yang digunakan untuk mengukur kesediaan Malaysia beralih ke fasa endemik. Parameter-parameter tersebut adalah berdasarkan situasi Covid-19.

“Ia termasuklah mengambil kira kadar kemasukan ke wad bagi kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima per 100,000 populasi, peratusan kes berumur melebihi 60 tahun dan ke atas dengan komorbid dan kadar kematian purata kes dalam tempoh tujuh hari (mengikut tarikh kematian, denominator adalah purata jumlah kes).

“Selain itu, kadar insiden purata kes Covid-19 bagi tempoh tujuh hari (per 100,000 populasi), kadar positif Covid-19 daripada sampel survelan influenza-like illness (ILI), survelan severe acute respiratory infection (SARI), pra-pembedahan (pre-operation), pra-kemasukan ke wad (pre-admission) dan liputan vaksinasi Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) tentang bagaimana Kementerian Kesihatan bercadang untuk transisi daripada pendekatan pandemik ke endemik Covid-19 dan apakah parameter yang digunakan untuk menilai kesediaan kerajaan untuk transisi secara selamat dan lestari.

Sementara itu, bagi aspek kapasiti untuk respons, ia berdasarkan kadar penggunaan katil di hospital untuk kes Covid-19, kadar penggunaan katil di ICU, keperluan pembukaan PKRC dan keputusan ujian RT PCR diperoleh dalam tempoh 48 jam.

Ia juga berdasarkan peratusan ujian positif per jumlah ujian dijalankan (RT PCR, RTK Ag professional dan kendiri), peratusan kakitangan kesihatan terkesan dengan jangkitan Covid-19.

“Apabila negara berada dalam fasa endemik ini kelak, jumlah kes harian akan tetap berlaku dan berkemungkinan boleh meningkat. Oleh yang demikian, proses peralihan yang berlangsung ketika ini amat penting sebagai persediaan bagi memastikan bilangan kes yang memerlukan kemasukan ke hospital dan kematian disebabkan Covid-19 adalah lebih terkawal.

“Justeru, bagi pemantauan mudah dilakukan oleh masyarakat umum, tiga indikator dipilih iaitu transmisi Covid-19, pengendalian kes dan kapasiti hospital untuk respons,” jelasnya.

Tambah beliau, sehingga Malaysia benar-benar bersedia memasuki fasa keendemikan, kerajaan akan terus mengekang penularan pandemik melalui beberapa tindakan, antaranya meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi ancaman daripada kemunculan varian baharu dan peningkatan kes, di peringkat daerah, negeri dan hospital.

Selain itu, memastikan pencapaian liputan vaksinasi yang sewajarnya, termasuk dos tambahan dan penggalak kepada kumpulan sasar serta meningkatkan penglibatan pelbagai pihak dan perkongsian maklumat yang lebih telus dengan masyarakat agar saranan serta informasi daripada kerajaan dapat diterima dan dilaksanakan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!