Banjir jika hujan lebat berterusan

Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit kini berada pada paras berjaga-jaga
Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit kini berada pada paras berjaga-jaga
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu diramalkan banjir sekiranya berlaku hujan lebat berterusan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi khususnya di kawasan-kawasan lembah, berhampiran sungai dan lokasi berisiko lain.

Setakat ini, dua sungai di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit kini berada pada paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat kadangkala renyai melanda negeri ini sejak Rabu lalu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonal (PA) Che Adam A Rahman berkata, selain dua sungai di daerah Setiu, paras air sungai-sungai lain berada pada tahap normal.

“Oleh itu kita nasihati orang ramai segera berpindah ke pusat pemindahan berhampiran jika hujan lebat berterusan dan berlaku kenaikan air di kawasan mereka.

“Apa pun, kita bersama pasukan dan agensi keselamatan sentiasa memantau kawasan berisiko terutamanya di pedalaman dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan di beberapa tempat di Terengganu dijangka berterusan sehingga esok.

Ia berikutan kedudukan palung monsun yang merentasi negara dan pengaruh angin timuran dari Lautan Pasifik Barat menyebabkan keadaan cuaca dijangka lembab terutama di Pantai Timur Semenanjung.