Mendiang bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman selamat disemadikan

Mendiang bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Tan Sri JJ Raj (Jr)
Mendiang bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Tan Sri JJ Raj (Jr)
A
A
A

SHAH ALAM - Mendiang bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Tan Sri JJ Raj (Jr) yang meninggal dunia pada Sabtu lalu, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park, Shah Alam pada Isnin.

Mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada jam 1.55 pagi akibat masalah jantung (cardiac arrhythmia) di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk mendiang pada hari ini adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass; Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis), Datuk Sulaiman Salleh dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki.

Zaini berserta beberapa kepimpinan kanan polis memberi tabik hormat di hadapan keranda mendiang serta menyampaikan ucapan takziah dan menyerahkan bendera Malaysia kepada waris mendiang, sebagai tanda penghormatan terakhir Polis Diraja Malaysia dan negara kepada mendiang.

Mendiang yang berasal dari Chemor, Perak terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor yang pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis sewaktu era darurat pada tahun 1950.

Pada tahun 1974, mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman sebelum bersara wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis.

Sepanjang perkhidmatan dalam PDRM, mendiang pernah menjawat beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Polis Daerah Pagoh (1950), Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (1954), Ketua Polis Daerah Kulim (1955), Ketua Polis Daerah Segamat (1957) dan Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan (1959).

Mendiang juga pernah dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Pahang (1961), Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu (1964), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967), Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak (1969) dan Ketua Polis Selangor (1973) serta Pengarah Pengurusan Bukit Aman (1974) sebelum bersara dua tahun selepas itu.

Artikel Berkaitan:

Selepas bersara, mendiang membabitkan diri secara aktif dalam sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarelawan dan persatuan sukan. - Bernama