Nilai sivik perlu sentiasa ada di jalan raya

No Image Caption
A
A
A

BILA kerajaan mengumumkan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 11 Oktober lalu, hampir sebahagian rakyat Malaysia mengambil kesempatan melakukan perjalanan jarak jauh, ibarat melepaskan geram akibat terkurung sekian lama kerana Covid-19.

Bagaimanapun, melepas geram dan dendam perlu disusuli dengan perasaan timbang rasa ketika di jalan raya.

Bagi golongan yang mempunyai kereta-kereta hebat berkuasa tinggi, keghairahan menguji kuasa enjin kenalah pada tempatnya. Kalau boleh tempahlah litar Sepang untuk berbuat demikian.

Baru-baru ini sekumpulan kereta berkuasa hebat memecut laju di laluan kiri Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak sehingga ada penunggang motosikal yang terpaksa berhenti memberi laluan kepada kereta-kereta berkenaan.

Pecutan laju dengan bunyi deruman enjin yang kuat menyebabkan ada penunggang motosikal terpaksa ‘menyelamatkan diri’ dengan berhenti di sebelah laluan kecemasan lebuh raya.

Daripada pemerhatian Merak Jalanan, selain kereta-kereta hebat, terdapat juga ‘rider-rider’ motosikal berkuasa besar turut sama mengambil peluang mengembara.

Namun, sikap segelintir pemilik motosikal ini kurang menyenangkan pengguna jalan raya yang lain, misalnya mereka meletakkan kenderaan masing-masing dengan bilangan melebihi 10 buah motosikal di laluan masuk utama kawasan RnR menuju ke tandas.

Keadaan itu menghalang laluan pengguna lain yang terpaksa mencari laluan agak jauh sedikit. Semua sedia maklum ketika pandemik, banyak laluan yang ditutup.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu menyukarkan bagi mereka yang berumur dan kurang upaya untuk berjalan jauh.

Sesungguhnya timbang rasa perlu disemat setiap masa khususnya ketika berada di tempat-tempat awam.

Mungkin pendidikan sivik perlu diperhebatkan lagi dalam sukatan pelajaran negara demi kebaikan bersama.