Giliran KL City FC, Sarawak United ke suku akhir

Pemain Terengganu FC, Dechi Marcel N’Guessan diasak pemain Selangor FC, Alexander Agyarkwa Ameyaw pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium MBPJ hari ini. Foto Bernama
Pemain Terengganu FC, Dechi Marcel N’Guessan diasak pemain Selangor FC, Alexander Agyarkwa Ameyaw pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium MBPJ hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR (KL) City FC dan Sarawak United FC menjadi pasukan terkini mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2021 selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing dalam saingan kelima Kumpulan A malam ini.

Gol tunggal oleh penjaring terbanyak Piala Malaysia 2021, Romel Oswaldo Morales, sudah cukup bagi membantu KL City FC merakam kemenangan ketiga selepas menumpaskan Penang FC 1-0, manakala jaringan minit akhir pemain gantian, Abdul Rahim Abdul Razak menjulang Sarawak United untuk menghampakan Sri Pahang FC dengan keputusan 2-1.

Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, menyaksikan jaringan penalti Romel yang juga merupakan gol kelapan peribadi pemain Colombia dalam Piala Malaysia 2021 itu hadir pada minit ke-37, selepas bola terkena tangan kapten pelawat Mohamad Azmi Muslim berpunca daripada umpanan sebelah kiri padang oleh pemain pertahanan tuan rumah Daniel Sang Ting.

Penang yang tampil dengan lebih bertenaga pada babak kedua berpeluang menyamakan kedudukan namun percubaan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew sedikit tersasar di sebelah kiri gawang tuan rumah pada minit ke-58.

Selang tujuh minit kemudian, penyerang Muhammad Fakrul Aiman Sidid gagal menyempurnakan peluang terhidang untuk menggandakan jaringan KL City, apabila tandukannya melambung tinggi dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Dalam pada itu, Sarawak United bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan dramatik ke atas Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, seterusnya meleburkan impian pasukan pantai timur itu untuk mara ke suku akhir.

Tandukan penyerang Kenjok Wal Athiu meletakkan Sri Pahang di depan pada minit ke-13 namun rembatan padu oleh penyerang import, Sandro Da Silva berjaya menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-31 sebelum Abdul Rahim muncul wira Sarawak United apabila mudah menolak masuk gol hantaran pemain import Uche Agba pada minit keempat masa kecederaan babak kedua.

KL City kini memimpin Kumpulan A dengan 11 mata diikuti Sarawak United di tangga kedua dengan 10 mata, Sri Pahang dengan enam mata dan Penang di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Terengganu FC meneruskan rentak cemerlang mereka apabila melakar kemenangan kelima berturut-turut selepas membenam Selangor FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi saingan Kumpulan B.

Tonggak serangan Terengganu Mohamad Faisal Abdul Halim membuka tirai jaringan pasukannya pada minit ke-14, diikuti dua gol oleh penyerang import, Jordan Mintah masing-masing pada minit ke-72 dan ke-90 manakala pemain gantian tuan rumah, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi memberikan gol sagu hati ‘The Red Giants’ pada minit ke-82.

Satu lagi aksi di Stadium Perak, Ipoh, menyaksikan Kuching City FC merakam kemenangan sulung saingan kali ini apabila menang tipis 1-0 ke atas tuan rumah Perak FC menerusi jaringan pemain tengah Mohammad Rafiq Shah Mohammad Zaim pada minit ke-71. - Bernama